Anaroxsia Cantik:

Blog ini dirangka bagi memenuhi kreteria kerja khusus subjek JEEA2309 - Cerpen Melayu. Kreteria yang diberikan adalah memilih seorang tokoh dan menghuraikan berkenaan biodata, sumbangan, dan karya-karya yang dihasilkan oleh tokoh tersebut.

Biodata Ringkas Tokoh



KERIS MAS dilahirkan ke dunia tanggal 10 Jun 1922 dan diberi nama sebagai Kamaludin Bin Muhammad di Kampung Ketari, Bentong, Pahang Darul Makmur. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di kampungnya sehingga tahap darjah 5. Selepas itu, beliau ke Sekolah Tawalib di Sumatera dan seterusnya mengikuti pengajian di kolej Kuliahtul Muallimin Al-Islamiah (Maktab Perguruan Islam) yang membolehkannya mendapat Diploma Perguruan. Ayah Keris Mas mengharapkan anaknya ini akan mengajar agama. Bagaimanapun, hajat ini tidak kesampaian. Apabila kembali ke Malaya pada 1940, dia ke Singapura dan belajar di Pitman’s College yang akan membolehkannya (jika tamat dan lulus) mendaftarkan diri untuk memasuki peperiksaan matrikulasi London University (University of London Matriculation Examinations) serta dikecualikan daripada peperiksaan Cambdrige. Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepadanya kerana sebelum sempat tamat pengajian, Perang Dunia kedua telah meletus, dan pengajiannya terbantut kesan dari peperangan itu.

Selepas perang, Keris Mas juga pernah bergabung dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang, dan menjadi Pegawai Penerangan parti tersebut. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarang di Utusan Melayu Singapura. Seterusnya beliau berpindah ke Melayu Raya pada tahun 1953 dan berpindah pula ke Warta Negara di Pulau Pinang pada bulan September 1953 hingga tahun 1955. Beliau kembali bertugas di Utusan Melayu pada akhir tahun 1955 dan merupakan antara pengasas yang menubuhkan persatuan ASAS 50. Keris Mas telah menghasilkan kira-kira 60 buah cerpen yang mengemukakan berbagai-bagai persoalan, daripada soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan-persoalan sosial-politik sesudah merdeka. Cerpen pertama yang dihasilkan oleh beliau berjudul Wasiat Orang Bangsawan yang tersiar dalam majalah Suluh Malaya (1946). Semua cerpen-cepennya terkumpul dalam antologi cerpen: Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968). Beliau menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 9 Mac 1992 akibat serangan sakit jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim di Bukit Kiara.