(KERIS MAS)
Karya pertama beliau berjudul ‘Wasiat Orang Bangsawan’ tersiar dalam Suluh Malaya, 1 Jun 1946. Sehingga akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah dihasilkan oleh beliau. Cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi iaitu Mekar dan Segar pada tahun 1959, Dua Zaman pada tahun 1963, Patah Tumbuh pada tahun 1963, dan Pertentangan pada tahun 1968. Keris Mas juga, dalam penulisannya telah mengemukakan berbagai-bagai persoalan, daripada soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan sosial-politik sesudah merdeka. Semua persoalan tersebut merupakan pemerhatian dan pantulan kembali pengalaman-pengalaman Keris Mas sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.
Terdapat beberapa buah cerpen Keris Mas telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti Cina, Korea, Inggeris, dan Rusia. Sehingga kini 11 buah cerpennya telah diterjemah ke dalam bahasa Cina melalui penerbitan Minggu Petir, Nanyang Evening, Nanyang Evening Post, Nanyang Siang Pau, Pemuda Pemudi Universiti, dan Nanyang Siang Wen Che. Manakala terdapat 3 buah cerpen beliau yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris seperti "They Do Not Understand" (Mereka Tidak Mengerti) dalam Tenggara (1968) dan "The Approach of Independence" (Menjelang Merdeka dalam Tenggara) 1967. Walaupun dalam karya Keris Mas terdapat pendedahan terhadap kejadian dari kebenaran yang realiti dalam masyarakat. Namun begitu beliau tidak pula mengakui bahawa karya sastera semata-mata dapat memajukan masyarakat. Beliau pernah berkata-kata mengenai hal ini dalam kehidupannya iaitu:-
"Kalau kita berpendapat bahawa dengan cerita pendek (CERPEN) sahaja kita boleh memajukan masyarakat, boleh mengubah susunan hidup kepada yang lebih sempurna dan baik, maka sudah tentulah pendapat itu tidak logik. Cerita pendek tidak dapat mengajar orang tentang ilmu bercucuk tanam, tidak dapat mengajar orang tentang ilmu ekonomi dan sebagainya. Tetapi kita harus faham bahawa cerita pendek yang ditulis dengan pengolahan yang baik dapat menyedarkan orang, dapat menimbulkan cara berfikir yang maju".
Sesungguhnya, kita memang tidak dapat menafikan lagi bahawa cerpen yang ditulis oleh Keris Mas memang menghidupkan imaginasi si pembaca dan ini merupakan kunci kepada kejayaan beliau. Selain itu, kepintarannya menguasai teknik dan menarik fikiran pembaca terhadap masalah sosial melalui bahasa yang mudah dan jelas mnjadi salah satu tonggak utama kejayaan beliau. Berhubung dengan hal yang terakhir ini beliau berpendapat bahawa banyangan pertama yang lahir dari bakat seseorang penulis mudah dikesan melalui penggunaan tekniknya. Tetapi kesempurnaan dan kematangan bakat itu bergantung pada kesanggupannya menuang buah fikiran dan pengalamannya melalui kata-kata, ayat-ayat dan keseluruhan pengolahan karangannya.
Meskipun Keris Mas lebih terkenal dengan penulisan cerpen, beliau juga tidak ketinggalan menunjukan bakatnya dalam penulisan novel. Hasil karya Novel-novel beliau antaranya ialah Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesuciannya dan Anak Titiwangsa merupakan tiga buah novel yang sederhana. Pahlawan Rimba Malaya di karang oleh beliau selepas penjajahan Jepun sementara Korban Kesuciannya pada tahun 1949 ditulis semasa beliau bertugas di Utusan Melayu. Seterusnya, Anak Titiwangsa yang telah diterbitkan pada tahun 1967 diusahakan sewaktu berada dalam kesibukan beliau berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, beliau juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan karya lain seperti menulis kritikan atau esei, memoir dan wawancara. Antara esei yang dihasilkan oleh beliau seperti Pandangan Umum Tentang Pemikiran dalam Pertumbuhan Kesusasteraan Melayu, Ke Mana Arahnya Kesusasteraan kita?, Tentang Manusia Berkualiti, Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu dan banyak lagi.
Pengetahuan serta pembacaan Keris Mas adalah meluas dan dalam pada masa yang sama beliau dapat melontarkan semula idea-idea daripada pembacaannya menerusi perbuatan mahupun tulisan. Beliau juga mempunyai personality yang tegas, petah berbicara dan berhujah serta mempunyai sikap yang ramah. Boleh disifatkan sejak tahun 1947 hingga beliau menghembus nafas terakhir, hidup beliau tidak pernah terpisah daripada kegiatan sastera. Malah seluruh hidup beliau dikorbankan untuk melibatkan diri dalam pembangunan dan perkembangan sastera Melayu - sebagai wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik.
Oleh yang demikian, penulisan yang dihasilkan oleh Keris Mas tidak kira cerpen, novel, esei atau ktitikan, memoir dan wawancara sememangnya mempunyai mesej yang tersendiri di dalamnya. Maka di sini akan diperlihatkan serba sedikit mengenai karya-karya yang telah dihasilkan oleh Keris Mas. Akan tetapi tidak keseluruhan sesebuah karya itu akan diperlihatkan kerana untuk menjaga hak penerbitan dan hak cipta. Kita akan memaparkan hanya beberapa rangkap serta sedutan bahagian-bahagian tertentu yang terdapat dalam sesebuah karya tersebut. Berikut merupakan karya-karya yang dipilih untuk dikongsi bersama:-
CERPEN
NOVEL