Anaroxsia Cantik:

Blog ini dirangka bagi memenuhi kreteria kerja khusus subjek JEEA2309 - Cerpen Melayu. Kreteria yang diberikan adalah memilih seorang tokoh dan menghuraikan berkenaan biodata, sumbangan, dan karya-karya yang dihasilkan oleh tokoh tersebut.

Monday, October 25, 2010

WASIAT ORANG BANGSAWAN

(KERIS MAS)

 Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Wasiat Orang Bangsawan:-


       Beberapa tahun yang telah lalu dia telah meninggalkan Kota Medan yang sedang indah dan jaya dengan suatu kenangan-kenangan yang pilu, dengan hati yang hancur luluh, tetapi dengan semangat yang bernyala-nyala dan suatu dendam yang susah hendak dipadamkan.

    Sejak itu telah hampir enam tahun lamanya sampai sekarang ia hanyut dalam gelombang hidup di Tanah Melayu ini, tenggelam dan timbul, terhempas dan terdampar. Telah dirasainya miskin dah segsara, hina dan melarat, semua telah dilaluinya dengan tabah dan berani semata-mata kerana hendak melupakan peristiwa-peristiwa yang pahit di kota Medan dulu itu, hendak mengubah luka yang parah dalam jiwanya.>>>

<<<"Janganlah engkau menyindir-nyindir jua, Anuar; hancur luluh hatiku mendengarnya. Enam tahun lamanya kita kita terpisah dan selama enam tahun aku tidak mempunyai hati lagi, hidupku kosong dan hampa semata-mata, tetapi aku telah berjanji dan bertawakal kepada Tuhan, kuserahkan nasibku pada takdir. Dan hidup ini seandainya akan kulalui saja dengan air mata untuk menebus dosaku kepadamu. Bukan pada waktu itu saja, tetapi sejak bermula perkataan-perkataan kasar yang menghiris jantungmu dulu terhambur dari mulutku. Aku telah menyesal, tetapi apalah ertinya sesal itu, sesal yang telah terkemudian? Engkau telah pergi, jauh entah ke mana, dan aku tahu bahawa kepergianmu itu dengan hati yang hancur luluh, maka sebab itu perhatianku pun makin sehari makin bertambah remuk dan rendam.>>>

<<<"Telah maklum aku akan semua maksudmu itu, Anuar. Maka marilah kita habiskan segala yang sudah-sudah dan yakinlah bahawa benting katamu itu sebenarnya tidak ada sama sekali. Meskipun enam tahun dulu pernah api kecongkakan menyembur dari mulutku seperti katamu tadi, tetapi aku lebih menyesal dan menderita kerananya. Seperti yang telah kunyatakan juga, yang menjadi pangkal semuanya itu ialah orang tuaku - orang tua-tua yang tidak mengerti akan kehendak zaman, tetapi sekarang zaman ini telah menyerangnya.>>>

<<<Tidak Anuar, aku tidak akan sedih atas kematian, kerana tidak sesiapa yang dapat memungkiri janji dengan Tuhannya. Tetapi ia telah meninggal dengan hati yang tidak tenteram, dengan jiwa yang penuh waswas. Engkau bacalah surat wasiatnya itu, supaya sesudahnya mudah-mudahan akan dapat menetapkan fikiranku." Perlahan-lahan Anuar membaca surat yang akhir daripada musuhnya itu. Didengar oleh Wati dan tiga orang pegawai rumah sakit dengan penuh hening dan takafur.>>>


                                                                                Dipetik: Suluh Malaya, Jun 1946

Nota : Untuk Cerita Penuh Dapatkan Buku Keris Mas

KEJADIAN DI DALAM ESTET

(KERIS MAS)

 Berikut adalah petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Kejadian di dalam Estet:-


    Tidak ada kerja. Ke mana-mana pergi tidak ada kerja. Di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura, semuanya kosong. Di mana-mana mesti menunjukkan surat dari pejabat buruh.

     Di Singapura untuk mencari pejabat buruh itu sahaja kena lima hari, untuk mendaftarkan nama kena dua hari - mencari dari satu meja ke satu meja, mana satu kerani yang boleh menerima pendaftaran. Dan setelah nama didaftarkan lalu mendapat satu surat pas maka untuk menunggu ada kerja kosong sampai sebulan belum tentu juga ada.>>>

<<<Hampir tidak percaya dia bahawa yang disergahnya itu ialah tuan manager dan Mariam. Ada sebentar dia terdiam. Fikirannya tiba-tiba menjadi beku, tidak tahu apa yang hendak dibuatnya. Setelah itu, setelah tuan manager balik kerumahnya dengan tidak mengucapkan sepatah perkataan pun dan Mariam datang kepadanya, barulah dia seolah0olah terbangun daripada tidur. Dan tiba-tiba sahaja berjalan rasa hatinya. Ingin dia tadi menembak, menembak orang-orang yang disergahnya.>>>

<<<"Tentang perkara ini tidak boleh sabar. Cakap, lekas! Kalau tidak benakmu kuhancurkan ..." Bedul kelihatan bertambah gelap mata, senapangnya diangkatnya. Pada waktu itu terdengar letupan berturut-turut. Mariam tumbang macam batang pisang. Si Amat melompat merampas senapang Bedul ... tetapi letupan itu terus juga macam bertih digoreng.>>>

<<<Si Amat tunggul mati bercabang tiga itu masih menhaga posnya. Dia tahan dan penuh semangat, tidak mudah dianjak dari tempatnya. Dia seperti tunggul tapi dalam kepalanya banyak cerita tentang sahabatnya Bedul, Mariam dan tuan managernya.

                                                                                        Dipetik: Mastika, April 1950

Nota: Untuk Cerita Penuh Dapatkan Buku Keris Mas

MENJELANG MERDEKA

(KERIS MAS)

Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Menjelang Merdeka:-


    Keadaan diluar sudah mulai sunyi. Rokok yang kuhisap ini yang penghabisan daripada sisi bungkus yang baru sebatang kuhisap selepas minum pagi tadi. Kain jendela bergerak-gerak dimainkan angin yang mulai ringan ditinggalkan embun. Fikiran beralih pada pokok lain; dan sekarang sedang dibeli isteriku di pasar.

      Menjelang Merdeka sudah tertulis pada kertas taip yag terletak di hadapanku. Baru itu sahaja yang siap sejak dua jam tadi. Maksudku hendak menulis gambaran  rasa keperibadian manusia Tanah Melayumenyambut kemerdekaan tanah air yang sudah lama diperjuangkan ini. Tiap kali kuulang membaca tajuk itu, tiap kali pula hilang kesimpulan-kesimpulan yang hendak kusimpulkan. Yang mengganggu ialah ingatan lain; ingatan kepada Shahrum. Apabila ingatan kepada Shahrum ini mengganggu maka kehendak pada rokok pun datang. Habislah semua rokok sebungkus.>>>

<<<Angin pagi makin lama makin lemah. Kain pintu hanya sekali-sekali bergerak malas dan panas mulai menikam masuk, menggarisi hujung mejaku. Tajuk rencana "Menjelang Merdeka" masih belum terisi. Rokok sebungkus yang baru datang dari pasar sudah tinggal setengah. Dan dari dapur sudah tercium bau belacan dibakar. Sebentar lagi hawa panas akan membakar dan kekuatan dalam diriku pun akan hilang. Perlukah aku mempunyai kipas angin atau sebuah bilik sejuk? Perlukah aku mengamalkan sesuatu 'kemestian' baharu untuk menambahkan kekuatan diriku?>>>

<<<Hawa panas yang membakar itu datanglah sudah. Tajuk "Menjelang Merdeka" masih tinggal tidak terisi. Fikiran penuh oleh masalah-masalah hidup yang dikemukakan oleh Shahrum, masalah-masalah yang dialaminya dan yang mempengaruhinya; masalah ayahnya dan pemimpin-pemimpin politik, masalah dirinya dan 'kemestian-kemestian' yang terpaksa diterimanya, masalah kesedaran dan kesempatan untuk rakyat dalam pembangunan kehidupan kebangsaan yang mulia, makmur dan aman damai.>>>

<<<Seminggu selepas perayaan merdeka, tersiarlah berita Shahrum akan berangkat ke luar negeri menjadi pegawai tinggi sebuah kedutaan Persekutuan Tanah Melayu. Lenyaplah seorang pemimpin muda daripada tengah-tengah rakyat dan lahirlah seorang lagi pegawai tinggi yang akan menyemarakkan tanah air dan bangsa di luar negeri. Proses pembangunan Tanah Melayu berjalan terus menempuhi jambatan merdeka. Dan isteriku mengambil peluang menghantar isteri Shahrum membeli bahan kain songket dan perhiasan-perhiasan perak ke Kota Bharu - lambang Tanah Melayu di luar negeri.

                                                                             Dipetik: Dewan Bahasa, Oktober 1957

Nota : Untuk Cerita Penuh Dapatkan Buku Keris Mas

MEREKA TIDAK MENGERTI

(KERIS MAS)

    Bill seorang 'expatriate', telah pergi ke lapangan terbang untuk menyambut menteri pulang daripada cuti di Pulau Pinang. Ketika di situ, Bill memerhatikan bahawa ramai pegawai di situ tidak begitu menghormatinya. Dia berasa hairan mengapa pegawai-pegawai itu tidak memperdulikan sia walaupun dia seorang pegawai Inggeris. Bill, sebagai setiausaha, menjalankan tugasnya untuk memastikan bahawa kontrak-kontrak perniagaan dijalankan oleh pihaknya iaitu pegawai Inggeris. Dia juga bertanggungjawab unutk menjaga menteri itu sehingga menghadiahkan pemandunya, Amat untuk menteri tersebut.

   Setibanya menteri di rumah, fail-fail mengenai projek terkini dikumpulkan menteri tersebut untuk mensyuarat penting di pejabat. Menteri telah meneliti laporan Bill yang tidak lengkap dan sekadar menunjuk-nunjuk sahaja. Menteri mengagak ada yang tidak kena pada laporan itu. Di pejabat pula, Bill membuat persiapan untuk mensyuarat tersebut. Akhirnya, menteri telah memberikan projek itu kepada orang tempatan iaitu Kassim. Khidmat Bill tidak diperlukan lagi. Bill kecewa dengan keputusan itu kerana berpendapat yang orang tempatan tidak layak menjalankan projek itu. Mereka masih memerlukan orang seperti dirinya dan kawan kerjayanya iaitu Bob.

    Bill dan Bob membincangkan isu itu dan jelas bahawa mereka memandang rendah terhadap orang tempatan. Bill mengatakan rakyat tempatan tidak mengerti pentingnya ada pegawai Inggeris dalam membantu membina negara. Bill menganggap orang tempatan tidak berkebolehan dan tidak mahir dalam mengurus projek besar seperti itu. Namun Bob percaya yang mereka patut belajar mengerti perasaan dan cara hidup masyarakat tempatan. Bob menambah bahawa rakyat tempatan perlu diberikan peluang unutk berdikari kerana ini tanah air mereka. Bill tetap tidak setuju dengan pandangan Bob itu.


    Di akhir cerita, Bill berjumpa dengan Amat, bekas pemandunya. Diceritakan kepada Bill yang menteri itu tidak suka dipanggil 'Tuan' seperti yang dikehendaki Bill dahulu. Menteri juga tidak suka dilayan seperti 'orang putih'. Bill mula sedar yang apa dikatakan Bob itu memanglah benar. Maka, dia percaya yang orang Melayu lebih mengerti tentang perasaan dan cara hidup mereka.


                                                                                       Dewan Bahasa, Oktober 1959


Nota: Untuk Cerita Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas

RUNTUH

(KERIS MAS)

Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Runtuh:-


     Tidak ada gunanya lagi. Rumah tangga ini sudah runtuh. Antara dia dan suaminya tinggal ikatan nikah dan kadang-kadang ada perhubungan tubuh sahaja - kadang-kadang. Lain daripada itu tidak ada apa-apa lagi.

      Hashim belum pernah berfikir panjang tentang rumah tangganya dan belum pernah memikirkan panjang-panjang tentang hubungan apakah sebenarnya yang mengikat antara dia dan suaminya. Perhubungan apakah sebenarnya yang mengikat antara dia dan suaminya. Perhubungan nikah itu sekarang dirasanya terlalu longgar, bila-bila masa pun boleh putus. Kesannya pada jiwanya sudah tidak ada lagi. Perhubungan tubuh itu pun tidak terasa perlu. Sejak akhir-akhir ini terasa benar padanya kehendak suaminya untuk bukan kehendak yang mesti dan ia membiarkan sahaja perhubungan itu dilakukan oleh suaminya dengan perasaan menerima, tidak ada perasaan memberi. Kadang-kadang ia tidak pun sampai pada tujuan persetubuhan yang wajar; ia tidak sampai pada kemuncak kepuasan nafsu. Dan ia menyerah sahaja pada keadaan itu.>>>

<<<Air mata ini ialah air mata kasihankan anak, lain tidak. Dan itu telah dapat diatasinya. Anas mesti maju dan melalui zaman persekolahan dengan jaya untuk sepuluh lima belas tahun yang akan datang. Jaminannya ialah dirinya sendiri dan kalau perlu suaminya. Ya, kalau perlu. Ia bimbang untuk memastikan bahawa suaminya boleh dijadikan jaminan untuk kemajuan anaknya. Suami ini, suami yang dicintai dan dihormatinya ini, selalu meninggalkan kebimbangan dalam hatinya apabila dia tiada di rumah. Keyakinannya hanya ada dan lebih daripada apa yang diharap-harapnya apabila suaminya itu berada  di rumah bercakap sebagai seorang pemimpin dan sebagai seorang guru.>>>

<<<Rumah tangga ini sudah runtuh. Tidak ada gunanya lagi. Ia tidak berani mempertahankan suaminya kerana ia tidak berguna lagi sebagai ketua rumah tangga. Dan apakah yang dapat dipertahankan lagi kalau sebagai rakyat biasa pun ia sendiri mengaku anaknya dapat sekolah baik bukan kerana haknya sebagai rakyat melainkan kerana ayahnya berkedudukan baik.>>>

<<<Malam itu lepas mengajar Anas dan kawan-kawannya, dia dilacuri sendiri oleh suaminya itu. Dan dia hanya menyerah dengan perasaan yang beku, tidak berasa memberi atau menerima sesuatu yang dapat dikatakan kebahgiaan. Berasa puas pun dia tidak. Segala perhubungan jasmani dengan suaminya sudah tidak mendatangkan erti lagi. Perhubungan jiwanya sudah hilang. Kasihnya sudah gagal. Dan rumah tangga sudah runtuh, bersama-sama dengan keruntuhan peribadi suaminya, pemimpin yang dulu dicintai dan dihormatinya.

                                                                                Dipetik: Dewan Bahasa, Ogos 1960

Nota: Untuk Cerita Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas

HALLUCINATION

(KERIS MAS)

Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Hallucination:-

   Dia baring sahaja di katilnya. Ada terasa cemas dalamk hatinya: barangkali dia gila. Kata doktor dia mengalami hallucination - melihat sesuatu yang sebenarnya tidak wujud. Ada juga dia mendengar doktor-doktor bercakap sesama mereka tentang psychosis, schizophrenia dan istilah-istilah lain seperti itu. Dia tahu itu semua istilah yang berhubungan dengan sakit jiwa. Tapi dia berasa senang juga kerana dia sebenarnya tidak memukul gadis itu. Jadinya, tentu dia tidak gila.

   Wad itu sunyi hingga pelawat pertama tiba tepat pada pukul 12:45. Dan, seperti semalam dan kelmarin, yang pertama tiba ialah kawannya, kawan yang tinggal sebilik dengannya.>>>

<<<Pekerja berbaju putih telah datang menyorong kereta yag berisi bahan-bahan minum petang. Kesunyian terganggu sebentar seperti permukaan tasik dijatuhi batu-batu kecil yang dilontarkan tangan-tangan nakal. Dia ikut terganggu. Kenangannya membayang pergi. Dandia ingin segera minum supaya sempat sembahyang asar di sisi katilnya itu sebelum para pelawat waktu petang pula datang. Tetapi ketenangan datang semula apabila semua pesakit telah meghadap minuman masing-masing. Ketenangannya datang lagi.>>>

<<<Sekarang di wad yang sunyi ini dia berasa amat bahagiamempunyai ibu dan ayah, ada orang yang memujuknya supaya lekas sembuh, supaya senang-senangkan hati dan supaya boleh pulang. Alangkah manisnya perasaan ini. Tetapi tuan guru terus tidak datang. Kehampaan datang lagi ke dalam dadanya. Dia mulai teringat pada malapetaka itu. Malapetaka yang membawa dia terlantar di dalam wad ini.>>>

<<<Sekarang tidak ada pelawat lagi di dalam wad ini. Semua sudah pulang. Dia seorang diri sahaja terbaring di katilnya. Pengalaman ganjil itu berlalu begitu cepat dalam ingatannya, dan tidak terasa menggangu lagi. Fikirannya lapang. Ayah, ibu, tuan guru, kawan, semuanya sekarang memberi erti baru dalam hatinya. Dia telah berjanji kepada dirinya tidak akan membiarkan imaginasinya menjalar ke sana ke mari, ke dalam tudung lingkup dan baju kurung siapa pun. Dia cuma berdoa moga-moga pinangan ayah dan ibunya akan diterima. Dia tidak gila, hanya melihat sesuatu yang sebenarnya tidak wujud, drama iblis dan syaitan.

                                                                                  Dipetik: Dewan Bahasa, Mei 1981

Nota: Untuk Cerita Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas

PAHLAWAN RIMBA MALAYA

(KERIS MAS)

Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam novel Pahlawan Rimba Malaya:-

<<<Besoknya pagi-pagi benar Jefri telah keluar pula membimbit satu bungkusan kecil dalam tangannya. Tiada lama antara dia telah berada dalam sebuah bas menuju ke Batu Caves. Keadaan yang sunyi di sekeliling bukit batu yang tinggi-tinggi terjal itu menukar perasaan orang dari bandar-bandar besar yang datang ke situ. Dahulu tempat itu masyhur menjadi tempat makan angin, melihat keajaiban alam yang aneh-aneh. Di sebelah muka bukit itu yang menghadap ke jalan raya dibuat orang tangga batu yang indah, beratus-beratus anak tangga tingginya. Di puncak anak tangga itu ternganga sebuah gua yang besar, ajaib dan mengagumkan bentuknya. Itulah yang disebut Batu Caves atau gua batu.>>>

<<<Dalam beberapa hari yang akhir ini Jefri jarang benar kelihatan. Kawan-kawannya sekampung bertanya-tanya sama sendiri akan perihal anak muda itu. Sejak dia tertangkap dahulu telah lain benar pekertinya. Dia telah berhenti menjadi guru dan khabarnya telah mengambil sebidang tanah hutan untuk memulakan hidup berhuma secara kampung. Orang-orang kampung suka melihat perubahannya itu. Tetapi dia telah menjadi pendiam benar, tidak rajin bergaul dan berbual-bual perkara yang tidak perlu. Yang sebenarnya dengan diam-diam dia terus bekerja, bekerja tidak berhenti-henti untuk kepentingan pasukannya. Perintah-perintah ketua yang harus dilaksanakannya amat banyak dan berat. Semuanya mesti siap sebelum 27 hari bulan. Demikianlah pada malam 26 hari bulan, seperti biasa kira-kira pukul satu dia telah hadir di rumah wakil ketuanya.>>>

<<<Setelah berdiam diri sejurus, Jefri lalu menambah kata lagi, "Tidakkah saya akan turut dalam upacara selamat tahun baru itu? Saya ingin berjuang, encik."
        "Itu sudah diputuskan oleh ketua bahawa engkau buat sementara boleh mengambil rehat dan yang akan memimpin upacara itu ialah aku sendiri, akan tetapi jika langkahku ketahuan atau aku menerima itu?"
         "Buat saya sentiasa saja sedia memikul apa jua perintah."
         "Nah, itu dia, kita telah siap sedia.">>>

                                                                                         Pahlawan Rimba Malaya,
                                                                                                            Kota Bahru: Pustaka Permai, 1946

Nota: Untuk Cerita Novel Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas