Anaroxsia Cantik:

Blog ini dirangka bagi memenuhi kreteria kerja khusus subjek JEEA2309 - Cerpen Melayu. Kreteria yang diberikan adalah memilih seorang tokoh dan menghuraikan berkenaan biodata, sumbangan, dan karya-karya yang dihasilkan oleh tokoh tersebut.

Monday, October 25, 2010

KORBAN KESUCIANNYA

(KERIS MAS)

Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam novel Korban Kesuciannya:-

<<<Sejak kejadian yang ganjil itu berlaku sampai sekarang telah hampir sebulan masa berlalu di sekeliling kehidupan Cikgu Aini. Dalam masa sebulan yang singkat itu telah sekian banyak pula kejadian yang tiada disangka-sangka dan sebaliknya daripada yang direka-reka dan difikir-fikirkannya selama ini telah terjadi dan telah menjadikan dia seperti orang yang kehilangan akal, buntu dan sempit segalanya dalam perasaannya menerima keadaan-keadaan yang timpa-bertimpa sahaja datang mengharu-biru ketenangan hidupnya yang telah lama diusahakannya itu.>>>

<<<"Kita hendak menunjukkan dengan perkataan atau keterangan kepada orang-orang kampung yang kolot itu tentang kebersihan hati dan pergaulan kita tidak akan diterima oleh mereka sebab kesempitan pergaulan mereka yang telah turun-temurun menetapkan bahawa lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan atau bersahabat, dan tidak boleh berdekatan, kerana yang pertama, haram, yang kedua, sumbang, dan yang ketiga, cabul. Pendeknya tidak baik belaka. Oleh sebab itu tidak ada orang muda yang bergaul dengan perempuan muda baik gadis atau janda atau lainnya. Antara lelaki dan perempuan, menurut falsafah hidup orang kita, hanya ada perhubungan nafsu semata-mata, lain tidak. Sebab itu kalau kedapatan seorang muda berbaik-baik dengan seorang perempuan, walau macam mana sekalipun bersih hati mereka berdua tetapi pada orang kita ertinya tidak lain kerana maksud jahat, kerana hawa nafsu." Demikian Busu menyambung keterangannya lagi dengan bernafsu dan muka yang merah.>>>

<<<Lama pula duduk di hadapan cermin itu sehingga malam telah semakin sunyi, telah tidak terdengar suara anak-anak muda bersiul atau bernyanyi lagi dan bulan telah tidak bersinar masuk ke jendelanya kerana telah lepas di balik bumbung rumah.

        Aminah memadamkan lampunya dan berhenti merenung muka jelita dan patut diri di hadapan cermin itu lalu menutup jendela dan merebahkan diri di tempat tidur. Dipejamkan matanya dan dibacanya beberapa patah ayat dan doa meminta tenangkan hati yang gelisah serta meminta tunjukkan jalan yang luas terbuka untuk dilaluinya dalam persimpangan cinta dan bakti yang baru dialaminya itu.>>>

<<<Udara dinihari telah terasa sejuk bukan kepalang, sementara dari jauh terdengar kokok ayam bersahut-sahutan sayu mendayu-dayu bunyinya. Pada keadaan sunyi senyap itu, Ustazah Aminah memaksa mata dan hatinya supaya tidur. Dan tinggallah soal memilih antara satu daripada dua pemuda yang merayu itu terbengkalai untuk dimenungkan pula pada hari besoknya.>>>

                                                                                                             Korban Kesuciannya
                                                                                        Singapura: Utusan Melayu Press Ltd., 1949

Nota: Untuk Cerita Novel Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas

ANAK TITIWANGSA

(KERIS MAS)

Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam novel Anak Titiwangsa:-

<<<Hati saya serasa hancur. Terasa-rasa hendak menagis pula dibuatnya. Mak Limah terus juga memeluk saya seperti tidak hendak dilepas-lepaskannya. Tangisannya makin panjang. Macam-macam disebutnya tentang Karim dan saya dan juga tentang Usup. Saya belum pernah mengalami keadaan seperti itu. Lama dia memeluk saya sambil menangis dan bertanya di mana Karim. Usup terpegun di kerusinya, hairan dan terharu. Tangannya memegang hidungnya.

     "Sudah Limah." Terdengar suara Pak Nordin amat perlahan. Dia memegang bahu Mak Limah. Dipimpinnya balik ke belakang. "Pergilah baring. Badan engkau tu belum kuat. Anak kita ada. Jangan susah. Nanti aku tanya pada Sudin.">>>

<<<"Macam mana engkau ni Sudin. Nak jadi wartawan tak kenal orang. Engkau ingat engkau sudah jadi macam Encik Samad, ya? Encik Samad dulu kenal semua orang, tau. Orang kerja ofis ni tak usah cakaplah. Semua kawannya. Dia tahu di mana dia orang tinggal. Susah senang dia ambil berat. Sekarang pun engkau tengok dia masih berkawan dengan semua orang. Peon, drebar semua dia buat kawan. Engkau tahu, manusia ini semua ada gunanya kepada kita. Engkau ada gunanya pada aku, aku ada gunanya kepada engkau. Orang miskin ada gunanya kepada orang kaya, orang kaya ada gunanya kepada orang miskin. Orang pandai ada gunanya kepada orang bodoh, orang bodoh ada gunanya kepada orang cerdik.">>>

<<<"Engkau memang bergeligalah, Malik," kata saya. Fikirannya itu memang bagus. Munasabah betul. Mengapa saya tak terfikir dari mula lagi.?
        "Sudah. Jangan nak angkat-angkat," katanya.>>>

                                                                                                                   Anak Titiwangsa
                                                                                 Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967

Nota: Untuk Cerita Novel Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas

SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR

(Keris Mas)

   Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mengisahkan tentang liku–liku kehidupan Encik Muhammad dalam menjalankan perniagaannya. En.Muhammad merupakan salah seorang dari pengarah sebuah firma perdagangan yang terkenal di Kuala Lumpur dan berkongsi dengan En. Tan serta Tan Sri Syed Aris. Encik Muhammad seorang yang bercita-cita besar dan telah membuka sebuah Ladang Orkid yang diuruskan oleh isterinya Cik Tipah dan merancang untuk membuka sebuah kawasan perlombongan di Lembah Tualang. Antara kampung terlibat ialah kampungnya sendiri iaitu Kampung Pulai.


  Encik Muhammad menghadapi masalah dan rintangan dalam memajukan Lembah Tualang sebagai kawasan perlombongan. Beliau terpaksa membeli tanah orang kampung dan memindahkan mereka ke kawasan tanah rancangan felda. Pada masa yang sama masyarakat memandang serong terhadapnya setelah tersebar khabar angin mengatakan rancangannya memajukan Jeram Medang sebagai pusat maksiat.




    Rahim, anak Encik Muhammad yang belajar di luar negara turut menentang cadangan bapanya dan menganggap sebagai seorang pemeras, tamak dan zalim. Bagi mendapatkan sokongan anaknya, En. Muhamamad cuba merapatkan Mahani anak Tan Sri Syed Aris dan akhirnya mereka berkahwin. En. Muhammad Yusof, Wakil rakyat Lembah Tualang telah membantu Encik Muhammad menyelesaikan masalah penempatan penduduk Kampung Pulau ke Tanah Rancangan Felda.

    Masalah Encik Muhamad masih belum selesai apabila rancangannya turut diganggu oleh Lebai Maarup salah seorang penduduk di Kampung Pulai. Lebai Maarup merupakan seorang anak muda yang mempunyai tanah di situ dan tidak mahu menjualkan tanahnya, sebaliknya ingin mewakafkanya. Rahim anaknya berjaya memujuk ayahnya supaya bersetuju dengan cadangan Lebai Maarup dan sebagai pertukaran, Rahim bersetuju menjadi pengurus syarikat perlombongan bapanya.


    Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur:-


<<<Maharani masuk pejabat dengan fikiran dan perasaan yang agak letih. Seminggu bercuti dan berhujung minggu di pedalaman memang  memberikan kesegaran pada tubuh badan. Tetapi seminggu melayani saat-saat pemikiran tentang peranannya sebagai seorang isteri kepada orang muda yang berkeras kepala dengan ayahnya, telah menimbulkan keletihan fikiran dan perasaan. Tetapi surat penting itu telah dikirimkan kepada Rahim. Panjang suratnya itu. Cerita majlis pertunangan, kisah cincin yang kini tersarung di jari, dan akhir sekali yang terpenting, kisah pujukan-pujukan yang lunak daripada seluruh anggota keluarga terutama daripada Encik Muhammad, Cik Puan Tipah dan ayahnya sendiri.>>>


<<<"Nampaknya saudagar besar dari Kuala Lumpur ini memang hendak menjahanamkan kita."Dia terdengar bisikan seorang muda berjubah dan berserban kepada beberapa orang di kelilingnya. Dan dia teringat pula akan pertanyaan pemuda berjubah itu waktu dia selesai membuat pengumuman:
     "Benarkah syarikat tuan akan mendirikan hotel peranginan di Jeram Medang?">>>


<<<Sudin dan Sani diberi arahan untuk berkerja keras dalam dua hari itu untuk memperoleh kesan perjumpaan tersebut daripada orang Kampung Pulai. Mereka khususnya mesti mendapat maklumat tentang reaksi orang kampung terhadap hujah-hujah yang dikemukakan oleh Jamaludin dan orang muda berjubah itu. Apa penerimaan orang kampung terhadap jawapan dan penerangan yang diberikan oleh Encik Muhammad.>>>
                                                                         Saudagar Besar dari Kuala Lumpur.
                                                                                   Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987

Nota: Untuk Novel Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas

RIMBA HARAPAN

(KERIS MAS)

   Novel Rimba Harapan ini berlatarbelakangkan Ketari, Bentong dan Janda Baik dalam dekad 1920-an dan 1930-an. Betapa tergugatnya kehidupan sosial, ekonomi dan kepercayaan orang Melayu oleh dasar penjajahan memaksa peluasan penanaman getah dan industri perlombongan bijih secara besar-besaran selepas Perang Dunia Pertama dan betapa bencana alam membantu dasar Inggeris ini mempengaruhi dan menghancurkan ketenteraman cara hidup orang Melayu hingga lari meneroka hidup baru ke hutan-hutan. Janda Baik diteroka dan dibuka dengan kegigihan dan penderitaan orang Melayu. Semuanya membuka mata dan fikiran tentang tafsiran sejarah yang penting yang mengubah cara berfikir dan sikap orang Melayu.


Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam novel Rimba Harapan:-


<<<Tiba-tiba keadaan menjadi bertmabah buruk. Kerajaan mengeluarkan kupon untuk orang-orang yang hendak menjual getah. Getah hanya boleh dijual dan dibeli dengan menggunakan kupon yang dikeluarkan oleh kerajaan. Orang yang berkebun getah ditaksir oleh kerajaan berapa sebenarnya dia boleh mengeluarkan getah dari tanahnya. Kerajaan menaksir dari luas tanah kebunnya. Tiap-tiap ekar dianggar sekian-sekian kati getah boleh dikeluarkan. Kupon diberi mengikut taksiran itu. Kalau dia mempunyai kebun sekian ekar dan boleh mengeluarkan getah sekian kati maka kupon yang diberikan adalah untuk sekian kati yang boleh dikeluarkan sahaja. Kedai-kedai yang membeli getah tidak boleh membeli getah berdasarkan lesen getah sahaja, tetapi mesti membeli sebanyak kupon yang dikemukakan oleh yang menjual getah itu.>>


<<<Sampai di seberang sungai mereka mengiringi Jusuh yang berjalan di depan sekali diikuti oleh salim, Karim dan Pak Kia di belakang. Mereka mengikuti batas petak paya yang sempit yang ditumbuhi rumput telebung. Rumput yang tebal itu seperti permaidani tidak menimbulkan bunyi apabila dipijak. Perdu-perdu padi yang rapat dan berbuah lebat melindungi mereka daripada pandangan makhluk apa pun yang bersembunyi dalam rumpun dan perdu padi itu. Mereka menuju ke arah sempadan tepi sawah dekat hutan, membelok-belok mengikut persimpangan-persimpangan batas. Sepatah kata pun tidak diucapkan. Berbisik pun tidak. Bernafas pun rasanya akan terdengar oleh sang babi yang sedang diburu.>>>


<<<Karim memandang muka Jusuh dalam cahaya bulan yang lembut. Dia teringat menembak babi tunggal yang besar itu. Tetapi dia tidak tahu apakah tembakannya mengenai sasaran atau tidak. Dia ternampak ke belakang. Senapang itu pun sekarang belum ditemui. Selama hidupnya belum pernah dia memegang senapang. Masa lepas memburu kera dulu ada juga niatnya hendak meminta belajar menembak daripada ayahnya, tetapi niat itu dibatalkannya. Melihat seksa yang ditanggung oleh anak kera itu rasa-rasanya dia tidak akan pernah berani menembak binatang.>>>
                                                                                Rimba Harapan
                                                                                  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986


Nota: Untuk Cerita Novel Penuh, Dapatkan Buku Keris Mas

Saturday, October 23, 2010

BIBLIOGRAFI

 A. Karim Abdullah, Sasterawan Negara Keris Mas: Tanggapan Tokoh dan Sarjana, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001.

 Abd Aziz Alias, (2005). Konsep Perjuangan dan Kepimpinan Keris Mas: Satu Penerapan Teori Konseptual kata kunci.

 Dewan Bahasa dan Pustaka. Pusat Dokumentasi Melayu, Keris Mas: Sebuah bibliografi, Kuala Lumpur: Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.

 Noor Azam, Persfektif, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1975.

 Keris Mas, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2003.

 Keris Mas, 1922-1992. Esei pilihan Keris Mas / disusun oleh A. Bakar Hamid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.

 Keris Mas, 1922-1992. Memoir Keris Mas: 30 tahun sekitar sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.

 Sahnon Ahmad, Konsep wira melayu moden dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Di dalam Siti Aishah Murad ( selenggaraan), Konsep Wira Dalam Sastera Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993.

 Sohaimi Abdul Aziz, Novel dalam kritikan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 2004.

Novel

-Pahlawan Rimba Malaya, Kota Bharu: Pustaka Permai, 1946, 60 hlm.
-Korban Kesuciannya, Singapura: Utusan Melayu Press, 1949, 109 hlm.
-Anak Titiwangsa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, 118 hlm.
-Saudagar Besar dari Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 365 hlm.
-Rimba Harapan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, 265 hlm.

Cerpen

-Mekar dan Segar (antologi bersama), Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1959, 161 hlm.
-Dua Zaman (antologi bersama), Kuala Lumpur :  Penerbitan Pustaka Antara, 1963, 190 hlm.
-Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm.
-Patah Tumbuh, Kuala Lumpur:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1973, 168 hlm.  (cetakan pertama 1962)
-Cerpen-cerpen ASEAN (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, 279 hlm.
-Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.
-Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.; 1985, 433 hlm.
-Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm.
-Kumpulan Cerpen Keris Mas 1946 – 1989, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 759 hlm.
-Koleksi Terpilih Keris Mas, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 341 hlm.

PENGENALAN

CERPEN MELAYU



    Cerita pendek atau cerpen adalah suatu bentuk prosa naratif fiktif. Cerita pendek cenderung padat dan langsung pada tujuannya dibandingkan karya-karya fiksi yang lebih panjang, seperti novella (dalam pengertian moden) dan novel. Cerita-cerita pendek biasanya menggunakan  teknik-teknik sastera seperti tokoh, plot, tema,dan  bahasa  secara lebih luas dibandingkan dengan fiksi yang lebih panjang. Ceritanya biasa terdapat dalam berbagai jenis.

    Cerita pendek berasal dari anekdot, sebuah situasi yang digambarkan singkat dengan cepat tiba pada tujuannya, dengan parallel pada tradisi penceritaan lisan. Dengan munculnya novel yang realistis, cerita pendek berkembang sebagai sebuah miniatur, dengan contoh-contoh dalam cerita-cerita karya E.T.A. Hoffmann dan Anton Chekhov. Sebenarnya, tidak ada rumusan yang sebenar mengenai apa itu cerpen. Golongan sasterawan memiliki rumusan yang tidak sama Antara satu sama lain. Contohnya  H.B. Jassin –Sang Paus Sastera Indonesia- menyatakan bahawa cerita pendek harus memiliki bahagian perkenalan, pertikaian, dan penyelesaian. A. Bakar Hamid pula dalam tulisan “Pengertian Cerpen” berpendapat bahawa yang disebut cerita pendek itu harus dilihat dari segi kuantiti iaitu berapa banyaknya perkataan yang dipakai: antara 500-20.000 kata, adanya satu plot, adanya satu watak, dan adanya satu kesan.  

    Aoh. KH, mendefinisikan bahawa cerpen adalah salah satu ragam fiksi atau cerita rekaan yang sering disebut kisahan prosa pendek. Dan masih banyak sasterawan yang merumuskan definisi cerpen. Rumusan-rumusan tersebut tidak sama persis, juga tidak saling bertentangan satu sama lain. Hampir semuanya bersetuju  bahawa cerita pendek atau yang biasanya  dipanggil cerpen adalah cerita rekaan yang pendek.

Wednesday, October 20, 2010

PEMBUKA BICARA

(Anaroxsia Cantik)

       Secara umumnya, penubuhan blog ini adalah bertujuan untuk memenuhi kreteria kerja khusus bagi subjek JEEA2309 - CERPEN MELAYU. Oleh itu, diharap tiada mana-mana pihak yang menyalahkan kewujudan blog ini. Segala maklumat serta isi kandungan dalam blog ini adalah bertujuan untuk pelajaran kami. Ahli yang terlibat dalam pembikinan blog ini terdiri daripada 5 orang iaitu JEA080004 - ASIF ASYRAF BIN NAGADIRAN, JEA080036 - MOHAMMAD SHAHIR BIN ABDUL RAHIM, JEA080029 - KHAIRUL NIZAM BIN ABD. RANI, JEA080080 - NORAFIZA BINTI ARPAI, Dan JEA080136 - SITI ROSFIZA BINTI IBRAHIM. Blog ini akan bercerita dan menerangkan mengenai seorang Tokoh Sasterawan yang menjadi pilihan bagi dipaparkan di dalam blog ini. Aspek-aspek yang akan di serap ke dalam blog ialah mengenai biodata Tokoh, karya yang dihasilkan, sumbangan beliau dalam bidang kesasterawan dan perkara yang berkaitan dengan tokoh.

     Berdasarkan segala maklumat yang telah diberikan di atas, maka kami telah memilih seorang tokoh bagi melengkapkan kerja khusus kami iaitu HAJI KAMALUDDIN BIN MUHAMMAD atau nama pena beliau yang dikenali ramai, KERIS MAS. Pemilihan tokoh ini di buat kerana kreteria beliau sebagai seorang pejuang sasterawan yang dikagumi serta disegani ramai semasa zaman kehidupan beliau. Selain itu, beliau juga dilihat sebagai seorang yang menggerak kepada perkembangan sastera pada waktu dahulu dan pengasas utama kepada tertubuhnya ASAS 50. Oleh itu, kami merasakan Tokoh yang dipilih ini adalah sesuai diangkat bagi menyempurnakan kerja khusus kami dalam membikin blog ini.

      Sejuta penghargaan bagi pihak-pihak yang membantu dalam menyiapkan blog ini, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, serta ahli-ahli kumpulan yang memberikan sumbangan serta maklumat yang berguna untuk dimuatkan ke dalam blog ini. Dengan kesungguhan, kerajinan dan berkat usaha yang tidak pernah putus asa, maka blog ini telah dapat disiapkan dengan jayanya. Segala kekurangan dan kesalahan maklumat yang terdapat di dalam blog ini harap dapat dimaafkan. Sesungguhnya segala kekurangan itu datang dalam diri penulis itu sendiri dah segala yang baik itu datang dari Allah. Semoga di harap blog ini dapat membantu insan-insan lain diluar sana yang memerlukan bantuan.