Anaroxsia Cantik:

Blog ini dirangka bagi memenuhi kreteria kerja khusus subjek JEEA2309 - Cerpen Melayu. Kreteria yang diberikan adalah memilih seorang tokoh dan menghuraikan berkenaan biodata, sumbangan, dan karya-karya yang dihasilkan oleh tokoh tersebut.

Tuesday, October 26, 2010

BIODATA RINGKAS TOKOH


 (KERIS MAS) 


KERIS MAS dilahirkan ke dunia tanggal 10 Jun 1922 dan diberi nama sebagai Kamaludin Bin Muhammad di Kampung Ketari, Bentong, Pahang Darul Makmur. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di kampungnya sehingga tahap darjah 5. Selepas itu, beliau ke Sekolah Tawalib di Sumatera dan seterusnya mengikuti pengajian di kolej Kuliahtul Muallimin Al-Islamiah (Maktab Perguruan Islam) yang membolehkannya mendapat Diploma Perguruan. Ayah Keris Mas mengharapkan anaknya ini akan mengajar agama. Bagaimanapun, hajat ini tidak kesampaian. Apabila kembali ke Malaya pada 1940, dia ke Singapura dan belajar di Pitman’s College yang akan membolehkannya (jika tamat dan lulus) mendaftarkan diri untuk memasuki peperiksaan matrikulasi London University (University of London Matriculation Examinations) serta dikecualikan daripada peperiksaan Cambdrige. Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepadanya kerana sebelum sempat tamat pengajian, Perang Dunia kedua telah meletus, dan pengajiannya terbantut kesan dari peperangan itu.

Selepas perang, Keris Mas juga pernah bergabung dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang, dan menjadi Pegawai Penerangan parti tersebut. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarang di Utusan Melayu Singapura. Seterusnya beliau berpindah ke Melayu Raya pada tahun 1953 dan berpindah pula ke Warta Negara di Pulau Pinang pada bulan September 1953 hingga tahun 1955. Beliau kembali bertugas di Utusan Melayu pada akhir tahun 1955 dan merupakan antara pengasas yang menubuhkan persatuan ASAS 50. Keris Mas telah menghasilkan kira-kira 60 buah cerpen yang mengemukakan berbagai-bagai persoalan, daripada soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan-persoalan sosial-politik sesudah merdeka. Cerpen pertama yang dihasilkan oleh beliau berjudul Wasiat Orang Bangsawan yang tersiar dalam majalah Suluh Malaya (1946). Semua cerpen-cepennya terkumpul dalam antologi cerpen: Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968). Beliau menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 9 Mac 1992 akibat serangan sakit jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim di Bukit Kiara.

SEJARAH KEHIDUPAN TOKOH


(KERIS MAS)


Keris Mas merupakan seorang tokoh Sastera yang terkemuka serta disegani oleh masyarakat pada zaman kegemilangan beliau serta merupakan individu pertama yang menerima anugerah gelaran Sasterawan Negara. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu hingga mencapai tahap darjah 5. Berdasarkan hasil keputusan peperiksaan yang baik, beliau seharusnya layak untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, akan tetapi pihak yang berkuasa pada waktu itu telah menggunakan sistem amalan pemilihan tertentu menyebabkan beliau tidak berpeluang meneruskan pelajaran seperti yang sepatutnya. Namun, kejadian itu tidak membenam usaha beliau  untuk menambah ilmu di dada kerana keluarga Keris Mas telah menghantar beliau ke Sumatera mengikuti pelajaran di Tawalib School, sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab.

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu diploma perguruan di Kolej Kuliahtul Muallimin Al-Islamiah (Maktab Perguruan Islam), bertujuan untuk melayakkan dirinya menjadi Guru Agama. Sistem pentadbiran kolej tersebut menggunakan bahasa Indonesia dan bahasa Arab sebagai bahasa penghantar, di samping bahasa Belanda yang dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran wajib dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tambahan. Akan tetapi, perkara lain yang telah terjadi iaitu beliau telah lulus dalam Ilmu Umum dan bukannya Jurusan Agama sebagaimana yang diharapkan oleh keluarganya.

Setelah itu, Keris Mas telah kembali semula ke Tanah Melayu pada tahun 1940, seterusnya beliau menuju ke Singapura dan telah mendaftarkan diri dengan Pitman Colleg bagi membolehkan beliau mengambil peperiksaan Martikulasi Universiti London. Dalam usaha beliau untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu itu, tercetusnya Perang Dunia Kedua menyebabkan pelajaran beliau pada waktu itu terbantut dan terhalang sama sekali. Selepas berakhirnya Perang Dunia kedu  yang memperlihatkan kekalahan pihak Jepun, Keris Mas telah menggabungkan diri dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)  cawangan Pahang dan dilantik menjadi Pegawai Penerangan parti tersebut. Beliau juga telah menghadirkan diri pada kongres tergempar PKMM yang berlangsung di Singapura pada akhir tahun 1947. Pengunduran diri daripada PKMM oleh keris Mas telah dilakukan tidak lama kemudian, dan telah bertukar untuk bertugas sebagai pengarang di Utusan Melayu Singapura. Suatu sumbangan besar yang telah diusahakannya ialah memesatkan lagi pengeluaran jumlah Majalah Mastika yang ketika itu kurang mendapat sambutan daripada pembaca. Beliau dengan gigih berusaha melaksanakan tugas tersebut sehingga berjaya.

Seterusnya pada tahun 1953, Keris Mas telah berpindah kerja untuk bertugas di Melayu Raya, tetapi perkhidmatan beliau di situ tidak lama kerana telah berangkat ke Pulau Pinang dan berkerja dengan Warta Negara pada bulan September 1953 sehingga tahun 1955. Beliau telah kembali bertugas di Utusan Melay  pada akhir tahun 1955, sebagai Anggota Sidang Pengarang. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada tahun 1956, Keris Mas telah dipelawa oleh Ungku Aziz selaku pengarahnya untuk berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka yang pada ketika itu beribu pejabat di Johor Bahru. Pelawaan Ungku Azizi itu diterima oleh Keris Mas dan beliau telah berkhidmat sebagai Pengarang Umum dari 1 Disember hingga 31 Oktober 1962, kemudiannya beliau telah dilantik menjadi Ketua Pengarang. Seterunya beliau telah diangkat menjadi Ketua Bahagian Pengarang Sastera bermula pada 1 Julai 1971 sehingga beliau bersara pada tanggal 10 Jun 1977. Selaku Ketua Bahagian, Keris Mas turut diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pengarang majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Walaupun Keris Mas dikenali sebagai anggota aktif ASAS 50, beliau sebenarnya telah menghasilkan karya kreatif lama sebelum ASAS 50 ditubuhkan lagi. Penulisan nove  beliau yang pertama terhasil ialah Pahlawan Rimba Malaya yang diterbitkan dalam tahun 1976. Menurut keterangannya, Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan lebih pendek daripada manuskrip asalnya. Hal ini berlaku kerana pihak penerbitan pada ketika itu kekurangan kertas, maka novel tersebut telah disingkirkan. Semasa bertugas sebagai Pegawai Penerangan PKMM, setahun kemudian beliau telah menulis sebuah cerpen perjuangan "Darah dan Air Mata" yang tersiar dalam majalah Kenchana keluaran 15 Oktober 1947. Sejak mula peringkat awal kegiatannya mengarang, Keris Mas telah memperlihatkan bakatnya dalam penulisan cerpen.

Keris Mas merupakan antara tokoh penting, malah merupakan tokoh yang memimpin Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang mendukung kuat fahaman "Seni untuk Masyarakat" dan turut memberi isi dan arah seperti terlihat dalam Memoranda ASAS 50 yang membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu. Semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, cita-cita Keris Mas untuk memberikan seluruh perhatian kepada perkembangan sastera Melayu telah berhasil dengan tertubuhnya Bahagian Perkembangan Sastera pada tahun 1971 yang kemudian diperbesarkan menjadi Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai tahun 1976.

Setelah Keris Mas bersara, beliau terus diberikan penghormatan sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun dari 1 Julai 1977 hingga 30 September 1978. Sejak awal 1979, Keris Mas menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya dan membantu dalam kursus penulisan kreatif. Anugerah Pejuang Sastera yang membawa ganjaran wang tunai sebanyak RM10000.00 dan berserta watikah telah dianugerahkan oleh Perdana Menteri kepada beliau pada 29 Mei 1976. Kerana kebolehan dan rasa tanggungjawabnya pada tugasan dan kesusateraan, Keris Mas telah dilantik oleh Perdana Menteri menjadi Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971-1976), dan pada tahun 1979 pula beliau telah dipilih sebagai salah seorang Anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Panel Anugerah Sastera telah bersetuju untuk memilih Keris Mas sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981. Penyampaian Anugerah ini telah berlangsung di Bangunan Parlimen pada 26 April 1981 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.

Monday, October 25, 2010

SUMBANGAN

(KERIS MAS)

Keris Mas dalam dunia kesusasteraan telah banyak memberikan sumbangannya. Sememangnya sumbangan beliau dalam dunia kesusasteraan tidak dapat disangkal lagi. Beliau telah memberikan sumbangan dalam memperjuangkan gagasan "Seni untuk Masyarakat" dan merupakan pendokong kuat fahaman tersebut. Keris Mas juga turut memberikan suntikan isi dan halatuju kepada perjuangan angkatan ini. Penekanan utama yang diberikan kepada Keris Mas adalah kepada mesej yang hendak disampaikan kepada pembaca. Sebagai contoh dalam cerpen beliau 'Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan' dan 'Kejadian di dalam Estet' membawa persoalan nasionalisme - perjuangan menuntut kemerdekaan Hassan seorang pemimpin kecil lari ke kota Singapura apabila darurat bermula untuk melepaskan diri dari di tanggkap oleh pihak Inggeris. Apabila di Singapura Hassan tidak lagi meneruskan kegiataan politiknya.

    Oleh yang demikian, kita dapat melihat bahawa Keris Mas bersungguh-sungguh memberi sumbangan dalam memperjuangkan gagasan 'Seni untuk Masyarakat' kerana beliau adalah seorang ahli dan tokoh terpenting dalam Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang dikemudi oleh beliau. Semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, cita-cita Keris Mas untuk memberikan seluruh perhatian kepada perkembangan sastera Melayu telah terhasil dengan tertubuhnya Bahagian Perkembangan Sastera pada tahun 1971 yang kemudiannya diperbesarkan menjadi Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai tahun 1976. Selain itu, Keris Mas juga telah memberi sumbangan besar yang telah diusahakannya iaitu memesatkan lagi pengeluaran majalah Mastika yang pada ketika itu kurang mendapat sambutan dalam kalangan pembaca.

       Sumbangan Keris Mas memang banyak dalam dunia kesusasteraan ini yang dilihat telah berkembang merentasi masa serta mengalami perubahan dari masa ke semasa mengikit perubahan globalisasi. Penghasilan kira-kira 60 buah karya cerpen oleh Keris Mas dilihat menjadi penyumbang kepada perkembangan sastera dengan mengemukakan pelbagai persoalan, daripada soal percintaan, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan-persoalan sosial-politik sesudah merdeka. Selain itu, terdapat beberapa buah cerpen Keris Mas telah diterjemah ke dalam bahasa lain seperti Cina, Korea, Inggeris, dan Rusia. Penterjemahan ini membolehkan ahli sasterawan negara lain memahami dan menghayati karya yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Karya-karya yang dihasilkan oleh Keris Mas mampu menghidupakan imaginasi pembaca dan menjadi kunci kepada kejayaannya. Keris Mas juga telah memberikan sumbangan dalam pelbagai aspek yang menjadi pencetus idea serta perkembangan sastera di negara ini, dan beliau merupakan antara tokoh yang paling banyak berjasa dalam dunia kesusasteraan dan dikenang sehingga ke hari ini.

KARYA - KARYA YANG DIHASILKAN

 (KERIS MAS)  

    Karya pertama beliau berjudul Wasiat Orang Bangsawan, tersiar dalam Suluh Malaya, 1 Jun 1946. Sehingga akhir tahun 1960, sebanyak 60 buah cerpen telah dihasilkan oleh beliau. Cerpen-cerpennya itu kini telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi iaitu  Mekar dan Segar pada tahun 1959, Dua Zaman pada tahun 1963, Patah Tumbuh pada tahun 1963, dan Pertentangan pada tahun 1968. Keris Mas juga, dalam penulisannya telah mengemukakan berbagai-bagai persoalan, daripada soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan sosial-politik sesudah merdeka. Semua persoalan tersebut merupakan pemerhatian dan pantulan kembali pengalaman-pengalaman Keris Mas sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.
    Terdapat beberapa buah cerpen Keris Mas telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti Cina, Korea, Inggeris, dan Rusia. Sehingga kini 11 buah cerpennya telah diterjemah ke dalam bahasa Cina melalui penerbitan Minggu Petir, Nanyang Evening, Nanyang Evening Post, Nanyang Siang Pau, Pemuda Pemudi Universiti, dan Nanyang Siang Wen Che. Manakala terdapat 3 buah cerpen beliau yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris seperti "They Do Not Understand" (Mereka Tidak Mengerti) dalam Tenggara (1968) dan "The Approach of Independence" (Menjelang Merdeka dalam Tenggara) 1967.


   Walaupun dalam karya Keris Mas terdapat pendedahan terhadap kejadian dari kebenaran yang realiti dalam masyarakat. Namun begitu beliau tidak pula mengakui bahawa karya sastera semata-mata dapat memajukan masyarakat. Beliau pernah berkata iaitu:- 


"Kalau kita berpendapat bahawa dengan cerita pendek (CERPEN) sahaja kita boleh memajukan masyarakat, boleh mengubah susunan hidup kepada yang lebih sempurna dan baik, maka sudah tentulah pendapat itu tidak logik. Cerita pendek tidak dapat mengajar orang tentang ilmu bercucuk tanam, tidak dapat mengajar orang tentang ilmu ekonomi dan sebagainya. Tetapi kita harus faham bahawa cerita pendek yang ditulis dengan pengolahan yang baik dapat menyedarkan orang, dapat menimbulkan cara berfikir yang maju".


    Sesungguhnya, kita memang tidak dapat menafikan lagi bahawa cerpen yang ditulis oleh Keris Mas memang menghidupkan imaginasi si pembaca dan ini merupakan kunci kepada kejayaan beliau. Selain itu, kepintarannya menguasai teknik dan menarik fikiran pembaca terhadap masalah sosial melalui bahasa yang mudah dan jelas mnjadi salah satu tonggak utama kejayaan beliau. Berhubung dengan hal yang terakhir ini beliau berpendapat bahawa banyangan pertama yang lahir dari bakat seseorang penulis mudah dikesan melalui penggunaan tekniknya. Tetapi kesempurnaan dan kematangan bakat itu bergantung pada kesanggupannya menuang buah fikiran dan pengalamannya melalui kata-kata, ayat-ayat dan keseluruhan pengolahan karangannya.


    Meskipun Keris Mas lebih terkenal dengan penulisan cerpen, beliau juga tidak ketinggalan menunjukan bakatnya  dalam penulisan novel. Hasil karya Novel-novel beliau antaranya ialah Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesuciannya dan Anak Titiwangsa merupakan tiga buah novel yang sederhana. Pahlawan Rimba Malaya di karang oleh beliau selepas penjajahan Jepun sementara Korban Kesuciannya pada tahun 1949 ditulis semasa beliau bertugas di Utusan Melayu. Seterusnya, Anak Titiwangsa yang telah diterbitkan pada tahun 1967 diusahakan sewaktu berada dalam kesibukan beliau berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, beliau juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan karya lain seperti menulis kritikan atau esei, memoir dan wawancara. Antara esei yang dihasilkan oleh beliau seperti Pandangan Umum Tentang Pemikiran dalam Pertumbuhan Kesusasteraan Melayu, Ke Mana Arahnya Kesusasteraan kita?, Tentang Manusia Berkualiti, Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu dan banyak lagi.
    Pengetahuan serta pembacaan Keris Mas adalah meluas dan dalam pada masa yang sama beliau dapat melontarkan semula idea-idea daripada pembacaannya menerusi perbuatan mahupun tulisan. Beliau juga mempunyai personaliti yang tegas, petah berbicara dan berhujah serta mempunyai sikap yang ramah. Boleh disifatkan  sejak tahun 1947 hingga beliau menghembus nafas terakhir, hidup beliau tidak pernah terpisah  daripada kegiatan sastera. Malah seluruh hidup beliau dikorbankan untuk melibatkan diri dalam pembangunan dan perkembangan sastera Melayu - sebagai wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik.


    Oleh yang demikian, penulisan yang dihasilkan oleh Keris Mas tidak kira cerpen, novel, esei atau ktitikan, memoir dan wawancara sememangnya mempunyai mesej yang tersendiri di dalamnya. Maka di sini akan diperlihatkan serba sedikit mengenai karya-karya yang telah dihasilkan oleh Keris Mas. Akan tetapi tidak keseluruhan sesebuah karya itu akan diperlihatkan kerana untuk menjaga hak penerbitan dan hak cipta. Kita akan memaparkan hanya beberapa rangkap serta sedutan bahagian-bahagian tertentu yang terdapat dalam sesebuah karya tersebut. Berikut merupakan karya-karya yang dipilih untuk dikongsi bersama:-


CERPEN
1. Wasiat Orang Bangsawan
2. Kejadian di dalam Estet
3. Menjelang Merdeka
4. Mereka Tidak Mengerti
5. Runtuh
6.Hallucination


NOVEL
1. Pahlawan Rimba
2. Korban Kesuciannya
3. Anak Titiwangsa
4. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur
5. Rimba Harapan

WASIAT ORANG BANGSAWAN

(KERIS MAS)

 Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Wasiat Orang Bangsawan:-


       Beberapa tahun yang telah lalu dia telah meninggalkan Kota Medan yang sedang indah dan jaya dengan suatu kenangan-kenangan yang pilu, dengan hati yang hancur luluh, tetapi dengan semangat yang bernyala-nyala dan suatu dendam yang susah hendak dipadamkan.

    Sejak itu telah hampir enam tahun lamanya sampai sekarang ia hanyut dalam gelombang hidup di Tanah Melayu ini, tenggelam dan timbul, terhempas dan terdampar. Telah dirasainya miskin dah segsara, hina dan melarat, semua telah dilaluinya dengan tabah dan berani semata-mata kerana hendak melupakan peristiwa-peristiwa yang pahit di kota Medan dulu itu, hendak mengubah luka yang parah dalam jiwanya.>>>

<<<"Janganlah engkau menyindir-nyindir jua, Anuar; hancur luluh hatiku mendengarnya. Enam tahun lamanya kita kita terpisah dan selama enam tahun aku tidak mempunyai hati lagi, hidupku kosong dan hampa semata-mata, tetapi aku telah berjanji dan bertawakal kepada Tuhan, kuserahkan nasibku pada takdir. Dan hidup ini seandainya akan kulalui saja dengan air mata untuk menebus dosaku kepadamu. Bukan pada waktu itu saja, tetapi sejak bermula perkataan-perkataan kasar yang menghiris jantungmu dulu terhambur dari mulutku. Aku telah menyesal, tetapi apalah ertinya sesal itu, sesal yang telah terkemudian? Engkau telah pergi, jauh entah ke mana, dan aku tahu bahawa kepergianmu itu dengan hati yang hancur luluh, maka sebab itu perhatianku pun makin sehari makin bertambah remuk dan rendam.>>>

<<<"Telah maklum aku akan semua maksudmu itu, Anuar. Maka marilah kita habiskan segala yang sudah-sudah dan yakinlah bahawa benting katamu itu sebenarnya tidak ada sama sekali. Meskipun enam tahun dulu pernah api kecongkakan menyembur dari mulutku seperti katamu tadi, tetapi aku lebih menyesal dan menderita kerananya. Seperti yang telah kunyatakan juga, yang menjadi pangkal semuanya itu ialah orang tuaku - orang tua-tua yang tidak mengerti akan kehendak zaman, tetapi sekarang zaman ini telah menyerangnya.>>>

<<<Tidak Anuar, aku tidak akan sedih atas kematian, kerana tidak sesiapa yang dapat memungkiri janji dengan Tuhannya. Tetapi ia telah meninggal dengan hati yang tidak tenteram, dengan jiwa yang penuh waswas. Engkau bacalah surat wasiatnya itu, supaya sesudahnya mudah-mudahan akan dapat menetapkan fikiranku." Perlahan-lahan Anuar membaca surat yang akhir daripada musuhnya itu. Didengar oleh Wati dan tiga orang pegawai rumah sakit dengan penuh hening dan takafur.>>>


                                                                                Dipetik: Suluh Malaya, Jun 1946

Nota : Untuk Cerita Penuh Dapatkan Buku Keris Mas

KEJADIAN DI DALAM ESTET

(KERIS MAS)

 Berikut adalah petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Kejadian di dalam Estet:-


    Tidak ada kerja. Ke mana-mana pergi tidak ada kerja. Di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura, semuanya kosong. Di mana-mana mesti menunjukkan surat dari pejabat buruh.

     Di Singapura untuk mencari pejabat buruh itu sahaja kena lima hari, untuk mendaftarkan nama kena dua hari - mencari dari satu meja ke satu meja, mana satu kerani yang boleh menerima pendaftaran. Dan setelah nama didaftarkan lalu mendapat satu surat pas maka untuk menunggu ada kerja kosong sampai sebulan belum tentu juga ada.>>>

<<<Hampir tidak percaya dia bahawa yang disergahnya itu ialah tuan manager dan Mariam. Ada sebentar dia terdiam. Fikirannya tiba-tiba menjadi beku, tidak tahu apa yang hendak dibuatnya. Setelah itu, setelah tuan manager balik kerumahnya dengan tidak mengucapkan sepatah perkataan pun dan Mariam datang kepadanya, barulah dia seolah0olah terbangun daripada tidur. Dan tiba-tiba sahaja berjalan rasa hatinya. Ingin dia tadi menembak, menembak orang-orang yang disergahnya.>>>

<<<"Tentang perkara ini tidak boleh sabar. Cakap, lekas! Kalau tidak benakmu kuhancurkan ..." Bedul kelihatan bertambah gelap mata, senapangnya diangkatnya. Pada waktu itu terdengar letupan berturut-turut. Mariam tumbang macam batang pisang. Si Amat melompat merampas senapang Bedul ... tetapi letupan itu terus juga macam bertih digoreng.>>>

<<<Si Amat tunggul mati bercabang tiga itu masih menhaga posnya. Dia tahan dan penuh semangat, tidak mudah dianjak dari tempatnya. Dia seperti tunggul tapi dalam kepalanya banyak cerita tentang sahabatnya Bedul, Mariam dan tuan managernya.

                                                                                        Dipetik: Mastika, April 1950

Nota: Untuk Cerita Penuh Dapatkan Buku Keris Mas

MENJELANG MERDEKA

(KERIS MAS)

Berikut adalah antara petikan cerita yang terdapat dalam cerpen Menjelang Merdeka:-


    Keadaan diluar sudah mulai sunyi. Rokok yang kuhisap ini yang penghabisan daripada sisi bungkus yang baru sebatang kuhisap selepas minum pagi tadi. Kain jendela bergerak-gerak dimainkan angin yang mulai ringan ditinggalkan embun. Fikiran beralih pada pokok lain; dan sekarang sedang dibeli isteriku di pasar.

      Menjelang Merdeka sudah tertulis pada kertas taip yag terletak di hadapanku. Baru itu sahaja yang siap sejak dua jam tadi. Maksudku hendak menulis gambaran  rasa keperibadian manusia Tanah Melayumenyambut kemerdekaan tanah air yang sudah lama diperjuangkan ini. Tiap kali kuulang membaca tajuk itu, tiap kali pula hilang kesimpulan-kesimpulan yang hendak kusimpulkan. Yang mengganggu ialah ingatan lain; ingatan kepada Shahrum. Apabila ingatan kepada Shahrum ini mengganggu maka kehendak pada rokok pun datang. Habislah semua rokok sebungkus.>>>

<<<Angin pagi makin lama makin lemah. Kain pintu hanya sekali-sekali bergerak malas dan panas mulai menikam masuk, menggarisi hujung mejaku. Tajuk rencana "Menjelang Merdeka" masih belum terisi. Rokok sebungkus yang baru datang dari pasar sudah tinggal setengah. Dan dari dapur sudah tercium bau belacan dibakar. Sebentar lagi hawa panas akan membakar dan kekuatan dalam diriku pun akan hilang. Perlukah aku mempunyai kipas angin atau sebuah bilik sejuk? Perlukah aku mengamalkan sesuatu 'kemestian' baharu untuk menambahkan kekuatan diriku?>>>

<<<Hawa panas yang membakar itu datanglah sudah. Tajuk "Menjelang Merdeka" masih tinggal tidak terisi. Fikiran penuh oleh masalah-masalah hidup yang dikemukakan oleh Shahrum, masalah-masalah yang dialaminya dan yang mempengaruhinya; masalah ayahnya dan pemimpin-pemimpin politik, masalah dirinya dan 'kemestian-kemestian' yang terpaksa diterimanya, masalah kesedaran dan kesempatan untuk rakyat dalam pembangunan kehidupan kebangsaan yang mulia, makmur dan aman damai.>>>

<<<Seminggu selepas perayaan merdeka, tersiarlah berita Shahrum akan berangkat ke luar negeri menjadi pegawai tinggi sebuah kedutaan Persekutuan Tanah Melayu. Lenyaplah seorang pemimpin muda daripada tengah-tengah rakyat dan lahirlah seorang lagi pegawai tinggi yang akan menyemarakkan tanah air dan bangsa di luar negeri. Proses pembangunan Tanah Melayu berjalan terus menempuhi jambatan merdeka. Dan isteriku mengambil peluang menghantar isteri Shahrum membeli bahan kain songket dan perhiasan-perhiasan perak ke Kota Bharu - lambang Tanah Melayu di luar negeri.

                                                                             Dipetik: Dewan Bahasa, Oktober 1957

Nota : Untuk Cerita Penuh Dapatkan Buku Keris Mas