Anaroxsia Cantik:

Blog ini dirangka bagi memenuhi kreteria kerja khusus subjek JEEA2309 - Cerpen Melayu. Kreteria yang diberikan adalah memilih seorang tokoh dan menghuraikan berkenaan biodata, sumbangan, dan karya-karya yang dihasilkan oleh tokoh tersebut.

Tuesday, October 26, 2010

SEJARAH KEHIDUPAN TOKOH


(KERIS MAS)


Keris Mas merupakan seorang tokoh Sastera yang terkemuka serta disegani oleh masyarakat pada zaman kegemilangan beliau serta merupakan individu pertama yang menerima anugerah gelaran Sasterawan Negara. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu hingga mencapai tahap darjah 5. Berdasarkan hasil keputusan peperiksaan yang baik, beliau seharusnya layak untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, akan tetapi pihak yang berkuasa pada waktu itu telah menggunakan sistem amalan pemilihan tertentu menyebabkan beliau tidak berpeluang meneruskan pelajaran seperti yang sepatutnya. Namun, kejadian itu tidak membenam usaha beliau  untuk menambah ilmu di dada kerana keluarga Keris Mas telah menghantar beliau ke Sumatera mengikuti pelajaran di Tawalib School, sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab.

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu diploma perguruan di Kolej Kuliahtul Muallimin Al-Islamiah (Maktab Perguruan Islam), bertujuan untuk melayakkan dirinya menjadi Guru Agama. Sistem pentadbiran kolej tersebut menggunakan bahasa Indonesia dan bahasa Arab sebagai bahasa penghantar, di samping bahasa Belanda yang dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran wajib dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tambahan. Akan tetapi, perkara lain yang telah terjadi iaitu beliau telah lulus dalam Ilmu Umum dan bukannya Jurusan Agama sebagaimana yang diharapkan oleh keluarganya.

Setelah itu, Keris Mas telah kembali semula ke Tanah Melayu pada tahun 1940, seterusnya beliau menuju ke Singapura dan telah mendaftarkan diri dengan Pitman Colleg bagi membolehkan beliau mengambil peperiksaan Martikulasi Universiti London. Dalam usaha beliau untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu itu, tercetusnya Perang Dunia Kedua menyebabkan pelajaran beliau pada waktu itu terbantut dan terhalang sama sekali. Selepas berakhirnya Perang Dunia kedu  yang memperlihatkan kekalahan pihak Jepun, Keris Mas telah menggabungkan diri dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)  cawangan Pahang dan dilantik menjadi Pegawai Penerangan parti tersebut. Beliau juga telah menghadirkan diri pada kongres tergempar PKMM yang berlangsung di Singapura pada akhir tahun 1947. Pengunduran diri daripada PKMM oleh keris Mas telah dilakukan tidak lama kemudian, dan telah bertukar untuk bertugas sebagai pengarang di Utusan Melayu Singapura. Suatu sumbangan besar yang telah diusahakannya ialah memesatkan lagi pengeluaran jumlah Majalah Mastika yang ketika itu kurang mendapat sambutan daripada pembaca. Beliau dengan gigih berusaha melaksanakan tugas tersebut sehingga berjaya.

Seterusnya pada tahun 1953, Keris Mas telah berpindah kerja untuk bertugas di Melayu Raya, tetapi perkhidmatan beliau di situ tidak lama kerana telah berangkat ke Pulau Pinang dan berkerja dengan Warta Negara pada bulan September 1953 sehingga tahun 1955. Beliau telah kembali bertugas di Utusan Melay  pada akhir tahun 1955, sebagai Anggota Sidang Pengarang. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada tahun 1956, Keris Mas telah dipelawa oleh Ungku Aziz selaku pengarahnya untuk berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka yang pada ketika itu beribu pejabat di Johor Bahru. Pelawaan Ungku Azizi itu diterima oleh Keris Mas dan beliau telah berkhidmat sebagai Pengarang Umum dari 1 Disember hingga 31 Oktober 1962, kemudiannya beliau telah dilantik menjadi Ketua Pengarang. Seterunya beliau telah diangkat menjadi Ketua Bahagian Pengarang Sastera bermula pada 1 Julai 1971 sehingga beliau bersara pada tanggal 10 Jun 1977. Selaku Ketua Bahagian, Keris Mas turut diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pengarang majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Walaupun Keris Mas dikenali sebagai anggota aktif ASAS 50, beliau sebenarnya telah menghasilkan karya kreatif lama sebelum ASAS 50 ditubuhkan lagi. Penulisan nove  beliau yang pertama terhasil ialah Pahlawan Rimba Malaya yang diterbitkan dalam tahun 1976. Menurut keterangannya, Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan lebih pendek daripada manuskrip asalnya. Hal ini berlaku kerana pihak penerbitan pada ketika itu kekurangan kertas, maka novel tersebut telah disingkirkan. Semasa bertugas sebagai Pegawai Penerangan PKMM, setahun kemudian beliau telah menulis sebuah cerpen perjuangan "Darah dan Air Mata" yang tersiar dalam majalah Kenchana keluaran 15 Oktober 1947. Sejak mula peringkat awal kegiatannya mengarang, Keris Mas telah memperlihatkan bakatnya dalam penulisan cerpen.

Keris Mas merupakan antara tokoh penting, malah merupakan tokoh yang memimpin Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang mendukung kuat fahaman "Seni untuk Masyarakat" dan turut memberi isi dan arah seperti terlihat dalam Memoranda ASAS 50 yang membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu. Semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, cita-cita Keris Mas untuk memberikan seluruh perhatian kepada perkembangan sastera Melayu telah berhasil dengan tertubuhnya Bahagian Perkembangan Sastera pada tahun 1971 yang kemudian diperbesarkan menjadi Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai tahun 1976.

Setelah Keris Mas bersara, beliau terus diberikan penghormatan sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun dari 1 Julai 1977 hingga 30 September 1978. Sejak awal 1979, Keris Mas menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya dan membantu dalam kursus penulisan kreatif. Anugerah Pejuang Sastera yang membawa ganjaran wang tunai sebanyak RM10000.00 dan berserta watikah telah dianugerahkan oleh Perdana Menteri kepada beliau pada 29 Mei 1976. Kerana kebolehan dan rasa tanggungjawabnya pada tugasan dan kesusateraan, Keris Mas telah dilantik oleh Perdana Menteri menjadi Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971-1976), dan pada tahun 1979 pula beliau telah dipilih sebagai salah seorang Anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Panel Anugerah Sastera telah bersetuju untuk memilih Keris Mas sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981. Penyampaian Anugerah ini telah berlangsung di Bangunan Parlimen pada 26 April 1981 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.

No comments:

Post a Comment